Sejarah Sistem Pendidikan Malaysia

Salam..Pasti ramai yang tertanya bagaimana sejarah perkembangan sistem pendidikan negara Malaysia semenjak dari sebelum Merdeka sehinggalah sekarang. Sebenarnya segala sejarah perkembangan sistem pendidikan Malaysia ini pernah kita pelajari semasa di tingkatan empat dan lima dalam matapelajaran Sejarah. Banyak perubahan yang telah dikecapi oleh rakyat Malaysia terutamanya semenjak kita mencapai kemerdekaan. Sistem Pendidikan Negara telah mengalami evolusi penting sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Evolusi pendidikan ini telah melalui lima fasa seperti berikut:

  • Zaman Pramerdeka (sebelum 1957);
  • Zaman Pasca Merdeka (1957-1970);
  • Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990);
  • Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000); dan
  • Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-hingga sekarang).

Zaman pramerdeka (sebelum 1957)
Semasa pentadbiran British, sekolah-sekolah di Tanah Melayu dipecahkan kepada empat aliran , iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan sekolah Tamil. Setiap sekolah mempunyai bahasa penghantarnya sendiri dan kurikulum yang berbeza di antara satu sama lain. Namun menjelang kemerdekaan, timbul kesedaran untuk mewujudkan satu sistem persekolahan. B eberapa jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji sistem persekolahan pada masa itu dan menghasilkan laporan-laporan berikut:

  1. Laporan Barnes (1951) – menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan kaum Melayu;
  2. Laporan Fenn-Wu (1951) – menyemak pendidikan kaum Cina;
  3. Ordinan Pelajaran (1952) – mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan; dan
  4. Laporan Razak (1956) – meletakkan asas bagi perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum kebangsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.

Zaman Pasca Merdeka (1957-1970)
Sebaik mencapai kemerdekaan, usaha ditumpukan untuk mewujudkan satu sistem pelajaran kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar.

Dasar pendemokrasian pendidikan bermula pada tahun 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas dengan mengadakan pendidikan universal selama sembilan tahun apabila peperiksaan pemilihan masuk ke sekolah menengah dihapuskan pada tahun 1964. Penghapusan peperiksaan pemilihan ini menyebabkan peningkatan kadar penyertaan ke sekolah menengah. Kadar ini terus meningkat apabila terdapat perubahan dasar yang melanjutkan pendidikan universal kepada 11 tahun secara berperingkat mulai tahun 1992.

Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi (Universiti Terbuka Malaysia, 2008). Dalam tempoh ini, pendidikan diberikan keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua kaum.

Pada masa ini juga Sistem Pendidikan Kebangsaan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pada tahun 1990. Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga turut diberi tumpuan. Walau bagaimanapun, selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan. Mata pelajaran Sivik diperkenalkan bagi menyemai semangat jati diri di kalangan pelajar. Pendidikan Sains dan Teknikal diberi lebih penekanan pada peringkat menengah bagi menghasilkan tenaga kerja mahir.

Pada tahun 1979, semakan semula pelaksanaan dasar pendidikan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) telah menggariskan cadangan pendekatan dan strategi baru untuk memantapkan sistem pendidikan. Pada tahun 1980-an, peluang pendidikan untuk warganegara turut ditingkatkan dengan menambahkan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di luar bandar. Seterusnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada tahun 1988 bagi memperteguh hala tuju dan matlamat pendidikan negara. Falsafah ini menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)
Dekad terakhir abad ke-20 menyaksikan perubahan yang pesat dalam pendidikan negara. Asas perundangan bagi pelaksanaan dasar pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan beberapa akta yang berkaitan dengan pendidikan, misalnya Akta Pendidikan 1996; Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996; Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan lain-lain.

Selain itu, banyak lagi perubahan berlaku dalam bidang pendidikan termasuk:

  1. Peningkatan akses dalam pendidikan khususnya peringkat tertiari;
  2. Perkembangan ICT dalam pendidikan termasuk penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1999;
  3. Menaiktarafkan kelayakan guru-guru daripada sijil kepada diploma;
  4. Menaiktarafkan Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); dan
  5. Menaiktarafkan Sekolah Menengah Vokasional kepada Sekolah Menengah Teknik.

Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-hingga sekarang)
Pada zaman ini Sistem Pendidikan Kebangsaan diperkemas sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat. Dengan mengambil kira pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21, penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan diperlihatkan dalam perundangan, dasar dan program utama, antaranya: Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002); Program Bimbingan dan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002); Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002). Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diperkenalkan pada tahun 2003; Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003); dan banyak lagi program-program pendidikan diperluas.

Perubahan paling signifikan dalam sejarah perkembangan pendidikan negara ialah penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) pada tahun 2004. Dengan pembahagian ini KPM dipertanggungjawabkan kepada pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan pendidikan guru.

Rujukan:

Abdullah Sani Yahaya (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Bentong, Pahang: PTS Pub & Distributor Sdn. Bhd.

Fadzilah bt Abdullah (1996). Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kuala Lumpur: As Noordeen.

Laporan Jawatankuasa Kabinet (1984). Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sufean Hussin (2002). Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia. Teori dan Analisis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Sheela Abraham (1993). Sejarah Perkembangan Negara. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Tajul Ariffin Bin Nordin (1993). Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Tengku Anuar (1990). Pengetahuan Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Sumber: Sejarah Perkembangan Sistem Pendidikan Di Malaysia Oleh Kulanz Salleh

Sharing is caring

ciktom

Cik tom seorang part time blogger yang sangat sukakan dunia blogging dan buah tomato. Mula menulis blog 15 Julai 2010. Menaip segala ilham dari akal fikiran dan hati ke dunia alam cyber. Sebarang persoalan atau pengiklanan/advertorial/review sila hubungi ciktom; tomatogurl86[at]gmail.com...gantikan [at] dengan @

4 thoughts on “Sejarah Sistem Pendidikan Malaysia

  • October 26, 2011 at 11:56 am
    Permalink

    hai,asslamualikum
    slmat berkenalan:)
    saya nak tanya pendapat awak pasal “dasar pendidikan kebngsaan sejauh manakah menguntungkan bumiptra”. sebenrnya ni tajuk asgmnt sy. saya nak mintak tolong dgn awak,mana la ttaw awak ada link atau article yg berkaitan dgn asgmnt sy ni.
    apa2 tq:)

    Reply
    • November 27, 2011 at 2:57 am
      Permalink

      wslm..maaf ye..cik tom xdapat membantu..tapi maybe boleh tanya pada link yang cik tom bagi dalam entry ni..dia memang cikgu dan banyak pengalaman…

      Reply
      • March 5, 2012 at 8:49 pm
        Permalink

        halo.bgaimanakah untuk memperkasakan sekolah kebangsaan?

        Reply
        • April 22, 2012 at 3:22 pm
          Permalink

          sorry boleh tanya yang lebih pakar ye..contoh pada sumber link yang cik tom bagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!