Sejarah dan Kelebihan Buah Kurma (Tamar)

Buah kurma atau tamar pastinya menjadi pilihan umat Islam di seluruh dunia sebagai juadah untuk berbuka puasa. Populariti kurma mengatasi hidangan lain ketika berbuka puasa dan buah ini menjadi makanan utama Nabi Muhammad SAW yang diteladani umat Islam zaman berzaman. Umat Islam dianjurkan berbuka puasa dengan buah kurma sebaik terbenamnya matahari kerana ia perkara yang disunatkan. Selain bulan puasa, biasanya masyarakat Melayu Islam sering dihadiahkan kurma oleh jemaah yang baru pulang dari mengerjakan ibadat haji di Makkah.

Kini, kurma bukan hanya dimakan umat Islam tetapi menjadi pilihan pelbagai masyarakat dunia yang hidangkan dalam pelbagai resipi serta juadah. Dengan ada reka cipta dalam dunia masakan, kurma boleh dinikmati pelbagai cara dan tidak lagi hanya dimakan sebagai buah semata-mata. Pakar masakan mula menjadikan kurma sebagai bahan pilihan dalam resipi yang dicipta.

Selain digabungkan dengan coklat, manisan dan agar-agar, kurma menjadi ramuan dalam kek, biskut dan jem yang menjadi menu tidak kira bagi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Peniaga juga memberi wajah baru kepada kurma dengan membuang biji dan digantikan dengan badam, dipakej dengan cara yang menarik dan kemas.

Buah kurma (tamar)

Sejarah Perkembangan Buah Kurma (Tamar)

Menjadi makanan wajib di Asia Barat, kurma menurut ensiklopedia Wikipedia dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir, kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi. Bukti arkeologi pula menunjukkan kurma mungkin berasal dari timur Arab dalam 6,000 tahun Sebelum Masihi. Buah ini kemudian dibawa pedagang Arab ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara Afrika dan Sepanyol yang mana orang Sepanyol memperkenalkan buah ini ke Mexico dan California pada 1765. Tarikh sebenar kurma dibawa ke Malaysia tidak diketahui tetapi ia dipercayai diperkenalkan pedagang Arab yang datang berniaga dan berdakwah ketika zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Pokok kurma (tamar)

Kelebihan Buah Kurma (Tamar)

1. Buah kurma amat sesuai untuk dijadikan hidangan berbuka puasa kerana kandungan tenaganya yang tinggi dapat mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras yang normal.

2. Amalan berbuka puasa yang baik ialah dengan mengambil tiga biji kurma yang kaya dengan tenaga, serat, vitamin dan mineral.

3. Kemudian diikuti dengan setengah cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil satu mangkuk kecil sup sayur berserta dengan satu atau dua keping roti.

4. Bagi mereka yang menghidapi kencing manis, buah kurma boleh diambil sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Namun begitu, mereka perlu mengawal pengambilannya. Mereka boleh mengambil tiga biji kurma tetapi perlu mengehadkan pengambilan makanan serta minuman manis yang lain.

5. Kurma baik untuk diet pemakanan, malah, kandungan zatnya dapat membantu dalam perubatan (mempunyai tenaga pembersihan) dan estringen pada masalah usus yang dapat mengatasi masalah sembelit dan gangguan usus kronik.

6. Ia juga dapat digunakan dalam masalah sakit kerongkong, selesema dan demam, juga dikatakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, selain mempunyai pelbagai khasiat lain.

7. Oleh kerana kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium, ia sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin. Jus kurma dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.

8. Kandungan zat besi yang terkandung pada buah berkenaan juga menyebabkan wanita berpantang sesuai mengambilnya sebagai hidangan tanpa keraguan. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

9. Kurma juga membantu melancarkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran. Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sum-sum tulang.

10. Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga, selain berkhasiat membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda kanak-kanak. Justeru, ia sangat sesuai untuk perut kosong, memberikan tenaga dan menyegarkan kisaran penghadaman.

11. Dilaporkan 100 gram kurma segar mengandungi sumber vitamin C yang diperlukan badan dan membekalkan 230 kalori untuk tenaga (960 kJ). Oleh kerana kurma mengandungi sedikit air, ia masih pekat walaupun sudah kering.

12. Bermakna dengan memakan kurma, badan mendapat tenaga mencukupi walaupun hanya dimakan sebiji dan segelas air. Oleh sebab itulah ada individu yang memilih berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma dan badan sudah berupaya mendapat tenaga kembali selepas sehari suntuk berpuasa.

Credit: Pokok Kurma & Sejarah dan kandungan Kurma.

Sharing is caring

ciktom

Cik tom seorang part time blogger yang sangat sukakan dunia blogging dan buah tomato. Mula menulis blog 15 Julai 2010. Menaip segala ilham dari akal fikiran dan hati ke dunia alam cyber. Sebarang persoalan atau pengiklanan/advertorial/review sila hubungi ciktom; tomatogurl86[at]gmail.com...gantikan [at] dengan @

2 thoughts on “Sejarah dan Kelebihan Buah Kurma (Tamar)

  • July 24, 2011 at 2:53 am
    Permalink

    buah kurma lazat enak dan mempunyai pelbgai kelebihan..besz ny lau dep kutip buah kurma dr pokok nya sendiri kn..heheh
    Jom baca entri terkini yanaa …9 Pedang Rasulullah sawMy Profile

    Reply
  • July 24, 2011 at 11:37 am
    Permalink

    tak lama lagi puasa dah. suka makan kurma jugak, terutamanya kurma ajmal dan aswad. sedap,, banyak kelebihan makan kurma nih.
    Jom baca entri terkini eiela …Perancangan Pada Hari AhadMy Profile

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!